Bayangkan seorang ayah berpesan kepada anak perempuannya bahawa rumah yang mereka duduki akan diberikan kepadanya. Anak itulah yang tinggal bersama ayah dan menjaga makan minumnya selama ini.
Adik-beradik lain pun tahu tentang pesanan tersebut. Semasa ayah masih hidup, tiada siapa membantah.
Tetapi selepas ayah meninggal dunia, seorang daripada mereka meminta rumah itu dibahagikan mengikut faraid.
Anak perempuan tadi tentu tertanya-tanya. Bukankah ayah sudah beritahu bahawa rumah itu untuknya?
Dalam keadaan begini, kita perlu semak dahulu apa sebenarnya yang telah dibuat oleh ayah. Adakah rumah itu sudah dihibahkan semasa hidup? Adakah ayah meninggalkan wasiat? Atau sekadar menyatakan hasrat yang belum dilaksanakan?
Ketiga-tiganya boleh membawa kesan yang berbeza.
1. Kalau ayah sudah berikan rumah itu semasa hidup?
Hibah ialah pemberian harta secara sukarela semasa pemberi masih hidup, tanpa mengharapkan bayaran atau balasan.
Contohnya, seorang ayah mahu memberikan rumah miliknya kepada anak. Pemberian itu dibuat semasa hidup dengan memenuhi rukun dan syarat hibah, termasuk perkara berkaitan penerimaan serta penyerahan milikan.
Harta yang telah dihibahkan secara sah dan sempurna pada asasnya tidak lagi menjadi harta pusaka pemberi. Namun, pesanan “rumah ini untuk kamu” sahaja belum cukup untuk kita terus membuat kesimpulan bahawa hibah telah sempurna. Apa yang dilafazkan, tindakan pihak-pihak dan bukti pemberian itu perlu diperiksa.
Bagi rumah atau tanah, status pemilikan, baki pinjaman dan dokumen berkaitan juga perlu disemak. Jangan anggap satu surat yang ditandatangani sudah menyelesaikan semua urusan.
2. Kalau ayah kata "Lepas ayah meninggal, rumah ini kamu punya"?
Pesanan untuk memberikan harta selepas kematian boleh melibatkan wasiat. Wasiat berkuat kuasa selepas pewasiat meninggal dunia dan tertakluk kepada syaratnya sendiri.
Secara umum, wasiat kepada bukan waris faraid boleh dilaksanakan setakat ⅓ daripada harta pusaka bersih, selepas ditolak perbelanjaan pengurusan jenazah dan hutang. Bahagian yang melebihi had itu memerlukan persetujuan waris yang berhak.
Bagi wasiat kepada waris faraid pula, persetujuan waris lain selepas kematian pewasiat diperlukan, walaupun pemberian itu kurang daripada ⅓.
Dalam contoh tadi, anak perempuan ialah waris faraid. Jadi, jangan anggap wasiat ayah kepadanya pasti boleh dilaksanakan hanya kerana nilainya tidak melebihi ⅓. Jika hanya sebahagian waris bersetuju, kesannya juga terhad kepada bahagian mereka yang bersetuju.
Sebab itu, “semua adik-beradik dah tahu” tidak semestinya bermaksud urusan tersebut sudah selesai.
3. Jadi, bila pula faraid terpakai?
Faraid menentukan waris yang berhak dan bahagian masing-masing terhadap harta pusaka seorang Muslim.
Sebelum pembahagian dibuat, perlu dikenal pasti dahulu harta yang benar-benar menjadi pusaka si mati. Perbelanjaan pengurusan jenazah, hutang dan wasiat yang sah perlu diselesaikan mengikut aturan yang berkenaan. Hak pihak lain terhadap harta tersebut, termasuk tuntutan harta sepencarian jika ada, juga perlu ditentukan. Baki pusaka barulah dibahagikan kepada waris yang berhak.
Adanya wasiat tidak bermaksud faraid terus tidak terpakai. Begitu juga, jika seseorang telah menghibahkan sebuah rumah, harta lain yang masih menjadi miliknya ketika meninggal dunia tetap perlu diuruskan.
4. Kalau semua waris setuju rumah itu diberikan kepada seorang sahaja?
Pembahagian secara muafakat boleh dibuat apabila semua waris yang berhak bersetuju sepenuhnya. Persetujuan itu perlu dibuat secara rela, selepas hak masing-masing difahami, dan direkodkan melalui urusan pusaka yang betul.
Jangan pula seorang waris membuat keputusan bagi pihak semua orang hanya kerana dia anak sulung atau orang yang menguruskan pusaka.
5. Kalau memang sudah tahu siapa yang kita mahu beri, uruskan sekrang
Mulakan dengan menyenaraikan harta yang ada, siapa pemiliknya dan kepada siapa harta itu hendak diberikan. Bawa sekali dokumen berkaitan supaya kaedah yang sesuai boleh dikenal pasti.
Jika sudah ada surat hibah atau wasiat, semak semula kandungannya. Pastikan apa yang tertulis benar-benar menepati tujuan asal dan langkah yang diperlukan telah dibuat.
Ayah mungkin sudah tiada untuk menjelaskan maksud pesanannya. Yang tinggal nanti ialah dokumen, bukti dan ahli keluarga yang mungkin memahami pesanan itu dengan cara berbeza.
Kalau niat asal hendak memudahkan orang yang kita sayang, pastikan urusannya juga jelas.
Penafian: Artikel ini merupakan penerangan umum bagi perancangan harta orang Islam. Kedudukan setiap kes bergantung pada fakta, dokumen, hukum syarak dan undang-undang negeri yang berkenaan. Dapatkan nasihat khusus sebelum membuat sebarang urusan hibah, wasiat atau pembahagian pusaka.