Bayangkan anda sudah jumpa pembeli untuk rumah lama. Harga pun sudah dipersetujui, RM500,000.
Anda buka aplikasi bank. Baki pinjaman lebih kurang RM350,000.
“Lepas tolak loan, ada RM150,000. Cukuplah untuk deposit rumah baru, renovation sikit dan bayar hutang kereta.”
Anda mula mencari rumah seterusnya. Ada satu yang berkenan, tinggal hendak bayar deposit sahaja.
Tetapi apabila anggaran hasil jualan disediakan, jumlah yang bakal diterima tidak sebanyak yang anda jangkakan.
“Mana pergi baki duit saya?”
Sebelum merancang penggunaan duit jualan rumah, ada beberapa perkara yang perlu dimasukkan dalam kiraan.
1. Baki dalam aplikasi bank belum tentu jumlah penyelesaian penuh
Dalam urusan jual beli rumah yang masih mempunyai pinjaman, penyata penebusan daripada bank diperlukan untuk mengetahui jumlah yang perlu dibayar bagi menyelesaikan pinjaman tersebut.
Jumlahnya boleh dipengaruhi oleh tarikh bayaran dibuat serta faedah, keuntungan atau caj yang terpakai mengikut dokumen pembiayaan.
Jika pinjaman masih dalam tempoh lock-in, semak juga sama ada terdapat caj penyelesaian awal.
Jadi, angka RM350,000 yang anda nampak hari ini elok digunakan sebagai anggaran awal sahaja.
2. Kos menjual rumah pun perlu masuk kira
Antara perkara yang perlu disemak ialah:-
Fi guaman dan perbelanjaan berkaitan urusan jualan serta pelepasan cagaran.
Fi ejen hartanah, jika anda melantik ejen.
Tunggakan caj penyelenggaraan dan kumpulan wang penjelas, jika berkenaan.
Cukai tanah, cukai petak atau cukai taksiran serta pelarasan bayaran mengikut perjanjian.
Kedudukan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT).
Tidak semua penjual mempunyai kos yang sama. Ada yang tiada tunggakan. Ada yang tidak menggunakan ejen. Ada pula urusan tambahan yang perlu diselesaikan sebelum jualan boleh disempurnakan.
Minta anggaran berdasarkan rumah dan dokumen anda sendiri.
3. Cuba tengok contoh ini
Andaikan jumlah penebusan bank benar-benar RM350,000 dan kos jualan serta tunggakan yang perlu dibayar berjumlah RM15,000.
Harga jualan - RM500,000
Tolak penyelesaian pinjaman - RM350,000
Tolak kos jualan dan tunggakan - RM15,000
Baki sebelum mengambil kira CKHT atau wang yang perlu ditahan - RM135,000
Angka ini untuk contoh sahaja, bukan anggaran fi bagi sesuatu urusan.
Daripada jangkaan RM150,000, baki sudah menjadi RM135,000. Kedudukan cukai dan apa-apa wang yang perlu ditahan masih perlu disemak.
4. “Tapi pembeli dah bayar deposit RM50,000. Itu lain, kan?”
Deposit tersebut merupakan sebahagian daripada harga jualan RM500,000.
Jika RM50,000 itu sudah dilepaskan kepada anda, ia sudah termasuk dalam hasil jualan yang anda terima.
Dalam contoh tadi, jika semua kos RM15,000 masih belum dibayar dan tiada pelarasan lain, baki yang belum diterima ialah RM85,000 sebelum mengambil kira urusan cukai atau wang tahanan.
Jangan masukkan deposit yang sama dua kali dalam bajet rumah baharu.
5. Wang yang ditahan untuk CKHT pula bagaimana?
Jika pegangan dan remitan di bawah seksyen 21B terpakai, sebahagian wang jualan perlu diremitkan kepada HASiL bagi membayar keseluruhan atau sebahagian CKHT penjual.
Amaun tersebut tidak semestinya sama dengan cukai akhir. Jika cukai sebenar lebih tinggi, penjual perlu menjelaskan bakinya. Sebab itu, pengiraan cukai dan remitan perlu disemak bersama supaya jumlah yang sama tidak dikira dua kali.
6. Bila pula duit itu boleh digunakan?
Walaupun anda sudah tahu anggaran baki, jangan terus menganggap semuanya akan diterima sebaik sahaja perjanjian jual beli ditandatangani.
Pelepasan wang bergantung pada terma perjanjian, penyelesaian pinjaman dan syarat urusan yang berkaitan.
Jika anda mahu menggunakan hasil jualan untuk membeli rumah lain, beritahu peguam dari awal. Tarikh bayaran rumah baharu perlu dirancang dengan mengambil kira perjalanan jualan rumah lama.
Sebelum bersetuju dengan harga, pastikan dua perkara jelas: berapa anggaran wang bersih yang anda akan terima, dan bila wang itu dijangka boleh digunakan.
Barulah senang hendak merancang langkah seterusnya.
Penafian: Artikel ini menggunakan situasi rekaan untuk penerangan umum. Jumlah sebenar dan masa penerimaan wang bergantung pada dokumen, terma pembiayaan, kedudukan cukai dan keadaan setiap transaksi.