Sebuah syarikat memperoleh kemudahan modal kerja sebanyak RM1.5 juta daripada bank.
Sebagai sebahagian daripada syarat pembiayaan, dua orang pengarah diminta menandatangani jaminan peribadi. Pada ketika itu, perniagaan sedang berkembang dan bayaran bulanan dibuat tanpa sebarang masalah.
Beberapa tahun kemudian, salah seorang pengarah menjual sahamnya dan meletakkan jawatan. Beliau tidak lagi terlibat dalam pengurusan syarikat.
Selepas syarikat gagal membuat bayaran, pengarah tersebut menerima surat tuntutan daripada bank.
“Saya sudah lama keluar daripada syarikat. Mengapa bank masih tuntut saya?”
Jawapannya bergantung pada dokumen yang pernah ditandatangani.
1. Syarikat dan pengarah ialah dua pihak yang berbeza
Sebuah syarikat mempunyai identiti undang-undang yang berasingan daripada pengarah dan pemegang sahamnya. Pada asasnya, hutang syarikat ialah tanggungan syarikat, bukan hutang peribadi pengarah.
Namun, kedudukan itu berubah apabila seseorang pengarah menandatangani jaminan peribadi atau personal guarantee.
Melalui jaminan tersebut, pengarah bersetuju untuk menanggung obligasi tertentu sekiranya syarikat gagal melaksanakan tanggungjawabnya kepada bank.
Maka, walaupun kemudahan pembiayaan diberikan kepada syarikat, bank mempunyai satu lagi asas tuntutan terhadap penjamin berdasarkan kontrak jaminan yang ditandatanganinya.
Jaminan peribadi bukan sekadar pengesahan bahawa seseorang itu merupakan pengarah syarikat. Ia mewujudkan obligasi undang-undang yang berasingan.
2. Bank mesti tuntut syarikat dahulu, bukan?
Tidak semestinya.
Di bawah Seksyen 81 Akta Kontrak 1950, liabiliti seorang penjamin pada asasnya adalah sama luas dengan liabiliti peminjam utama, melainkan kontrak memperuntukkan sebaliknya.
Bergantung pada kandungan dokumen, bank lazimnya tidak semestinya perlu menghabiskan semua tindakan terhadap syarikat atau menjual setiap aset yang dicagarkan sebelum membuat tuntutan terhadap penjamin.
Sesetengah jaminan turut mengandungi klausa indemnity. Klausa ini boleh memberikan bank asas tuntutan tambahan yang lebih luas daripada jaminan biasa.
Sebab itu, seseorang pengarah tidak boleh menganggap bahawa bank akan mengejar syarikat sahaja kerana nama syarikat tercatat sebagai peminjam dalam surat tawaran.
Surat tawaran, perjanjian kemudahan, jaminan dan dokumen sekuriti perlu dibaca bersama.
3. “Tetapi saya sudah meletakkan jawatan sebagai pengarah.”
Peletakan jawatan tidak secara automatik menamatkan jaminan peribadi.
Begitu juga dengan penjualan saham, pertukaran pemegang saham atau keputusan untuk tidak lagi terlibat dalam perniagaan.
Hubungan seseorang dengan syarikat mungkin telah berakhir. Namun, kontraknya dengan bank boleh terus berkuat kuasa.
Jika pengarah yang keluar mahu dilepaskan daripada jaminan, perkara itu perlu dibincangkan dengan bank. Bank mungkin meminta penjamin gantian, sekuriti tambahan, pengurangan baki pembiayaan atau penyusunan semula kemudahan sebelum mempertimbangkan pelepasan tersebut.
Paling penting, pelepasan perlu diperoleh secara bertulis daripada bank.
Surat peletakan jawatan, perjanjian jual beli saham atau persetujuan antara pemegang saham tidak dengan sendirinya menghapuskan hak bank. Bank bukan pihak yang terikat kepada persetujuan dalaman tersebut melainkan bank sendiri bersetuju.
4. Adakah jaminan itu untuk satu kemudahan sahaja?
Belum tentu.
Sesetengah jaminan dihadkan kepada jumlah dan kemudahan tertentu. Sebagai contoh, penjamin mungkin menjamin satu pinjaman berjangka sehingga had RM500,000 sahaja.
Namun, terdapat juga jaminan berbentuk all monies atau jaminan berterusan. Dokumen seperti ini boleh merangkumi beberapa kemudahan, baki semasa, kemudahan tambahan atau siri transaksi, tertakluk kepada terma sebenar dokumen.
Seksyen 82 Akta Kontrak 1950 mengiktiraf konsep continuing guarantee, iaitu jaminan yang meliputi suatu siri transaksi.
Oleh itu, sebelum menandatangani, pengarah perlu mengetahui:-
kemudahan yang dilindungi oleh jaminan;
sama ada jumlah jaminan mempunyai had;
sama ada ia merangkumi kemudahan sedia ada dan akan datang;
sama ada faedah, keuntungan, caj lewat dan kos guaman turut termasuk;
keadaan yang membolehkan bank membuat tuntutan; dan
bagaimana jaminan tersebut boleh ditamatkan atau dilepaskan.
Jangan hanya melihat jumlah pembiayaan yang dinyatakan pada halaman pertama surat tawaran. Skop sebenar tanggungan mungkin berada dalam dokumen jaminan yang berasingan.
5. “Ada tiga orang penjamin. Saya hanya tanggung satu pertiga, betul?”
Tidak semestinya.
Jika jaminan menyatakan bahawa tanggungan penjamin adalah secara bersama dan berasingan atau jointly and severally liable, bank mungkin berhak menuntut keseluruhan jumlah yang dijamin daripada seorang penjamin sahaja, tertakluk kepada had dan terma dokumen.
Bank tidak semestinya perlu membahagikan tuntutannya sama rata antara semua penjamin.
Sebagai contoh, jika tiga orang pengarah memberikan jaminan bagi pembiayaan RM900,000, ini tidak semestinya bermaksud bank hanya boleh menuntut RM300,000 daripada setiap seorang.
Persetujuan sesama pengarah bahawa mereka akan berkongsi tanggungan secara sama rata merupakan urusan dalaman. Ia tidak semestinya mengehadkan hak bank di bawah dokumen jaminan.
Penjamin yang membayar lebih daripada bahagiannya mungkin mempunyai hak untuk mendapatkan sumbangan daripada penjamin lain atau menuntut semula daripada syarikat. Namun, hak tersebut merupakan tuntutan yang berasingan dan keberkesanannya bergantung pada kedudukan kewangan syarikat, dokumen serta fakta kes.
6. Jaminan peribadi tidak sama dengan cagaran harta.
Seorang pemilik perniagaan juga perlu membezakan antara menjadi penjamin dengan menjadi pihak yang menyediakan cagaran.
Jika sebuah hartanah dicagarkan kepada bank, risiko utama pihak yang mencagarkan hartanah tersebut lazimnya tertumpu pada aset berkenaan, tertakluk kepada dokumen yang ditandatangani.
Jaminan peribadi pula boleh mewujudkan tuntutan terhadap penjamin sendiri. Bergantung pada penghakiman dan proses penguatkuasaan yang berkenaan, kesannya boleh melibatkan aset peribadi penjamin.
Dalam sesetengah pembiayaan, seseorang mungkin menandatangani kedua-duanya - jaminan peribadi dan dokumen cagaran bagi hartanah miliknya.
Menyediakan hartanah sebagai cagaran tidak semestinya bermaksud tanggungan seseorang terhad kepada nilai hartanah itu. Perkara tersebut perlu ditentukan berdasarkan keseluruhan struktur sekuriti dan dokumen yang ditandatangani.
7. Bolehkah penjamin mencabar tuntutan bank?
Penerimaan surat tuntutan tidak bermaksud penjamin perlu terus membuat kesimpulan bahawa tiada apa-apa yang boleh disemak.
Antara perkara yang perlu diteliti ialah:-
sama ada jaminan telah ditandatangani dan disempurnakan dengan sewajarnya;
skop sebenar jaminan;
jumlah yang boleh dituntut;
sama ada tuntutan dan notis telah dibuat mengikut dokumen;
sama ada penjamin pernah dilepaskan secara bertulis;
sama ada berlaku perubahan material pada kemudahan;
cara bank mengendalikan sekuriti yang dipegang; dan
sama ada tuntutan dibuat dalam tempoh yang dibenarkan undang-undang.
Akta Kontrak 1950 turut memperuntukkan keadaan tertentu yang boleh menjejaskan atau melepaskan liabiliti seorang penjamin. Antaranya termasuk perubahan kepada kontrak asal tanpa persetujuan penjamin dan tindakan pemiutang yang menjejaskan remedi penjamin.
Namun, perkara ini tidak boleh dianggap sebagai pembelaan automatik.
Dokumen perbankan lazimnya mengandungi klausa yang memberi persetujuan awal terhadap pembaharuan, lanjutan masa, perubahan atau penyusunan semula kemudahan. Setiap kes perlu dinilai berdasarkan perkataan sebenar dalam dokumen dan apa yang berlaku selepas pembiayaan diberikan.
8. Apa yang patut dilakukan sebelum menandatangani?
Jaminan peribadi sering dikemukakan bersama beberapa dokumen lain dan perlu ditandatangani dalam tempoh yang singkat. Walau bagaimanapun, tekanan untuk mendapatkan pembiayaan tidak seharusnya menyebabkan pengarah mengabaikan risiko peribadinya.
Sebelum menandatangani:-
semak surat tawaran dan semua dokumen sekuriti secara menyeluruh;
kenal pasti jumlah maksimum pendedahan peribadi;
tentukan sama ada jaminan itu terhad atau berbentuk all monies;
fahami peristiwa yang membolehkan bank membuat tuntutan;
bincangkan kemungkinan menetapkan had, tempoh atau syarat pelepasan;
rekodkan pengaturan sumbangan dan indemniti antara pemegang saham;
pantau setiap pembaharuan, tambahan atau penyusunan semula kemudahan; dan
dapatkan pelepasan bertulis daripada bank sekiranya keluar daripada syarikat.
Tidak semua terma boleh dirunding. Bank mungkin tetap mensyaratkan jaminan yang luas sebelum pembiayaan diberikan.
Namun, jika syarat tersebut tidak boleh diubah, pemilik perniagaan sekurang-kurangnya dapat membuat keputusan komersial dengan memahami risiko sebenar yang bakal ditanggungnya.
Kemudahan itu mungkin atas nama syarikat. Tetapi apabila jaminan peribadi ditandatangani, risikonya tidak lagi terhenti pada syarikat sahaja.
Penafian: Artikel ini disediakan untuk penerangan umum dan tidak merupakan nasihat undang-undang bagi mana-mana transaksi tertentu. Hak dan liabiliti setiap pihak bergantung pada dokumen pembiayaan, bentuk sekuriti, fakta kes serta undang-undang yang berkuat kuasa. Dapatkan nasihat khusus sebelum menandatangani atau mengambil tindakan berdasarkan sesuatu jaminan.