Artikel ini adalah merupakan satu perkongsian daripada kes sebenar yang telah kami uruskan di firma guaman kami. Sedikit perubahan dibuat terhadap nama pihak-pihak yang telibat dan diharap pembaca dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada perkongsian ini.
Baru-baru ini, kami telah dilantik untuk mewakili seorang penjual dalam satu transaksi penjualan rumah miliknya. Penjual tersebut, Pn. Khatijah telah hadir ke pejabat kami bagi berbincang mengenai proses dan perosedur bagi penjualan rumahnya tersebut.
Pn. Khatijah memberitahu kami bahawa dia ingin menjual rumahnya itu atas sebab dirinya tidak mampu lagi untuk menanggung pembayaran bulanan rumah kepada pihak bank. Penjualan rumah ini seterusnya akan meringankan bebannya dan dia boleh mendapat hasil keuntungan, walaupun sedikit daripada penjualan tersebut.
Apabila kami minta dokumen berkaitan dengan rumahnya itu, dapat dikenalpasti bahawa Pn. Khatijah bukanlah satu-satunya pemilik rumahnya. Rumah itu dimiliki secara bersama dengan seorang lagi lelaki yang bernama En. Dahlan yang merupakan bekas suami kepada Pn. Khatijah dan mereka telah sah bercerai lima tahun yang lalu, dan mereka tidak pernah berjumpa dan berhubung setelah bercerai.
Sebagai peguam yang menguruskan transaksi penjualan hartanah, kami telah menasihati Pn. Khatijah bahawa untuk membolehkan rumahnya itu dijual, adalah menjadi satu kewajipan bagi kesemua pemilik rumah tersebut bersetuju untuk menjual dan menandatangani dokumen berkaitan dengan penjualan rumah, kemudian barulah rumah tersebut boleh dijual. Sekiranya hanya Pn. Khatijah yang mahu jual dan tandatangan dokumen tanpa persetujuan daripada En. Dahlan, maka adalah mustahil untuk rumah tersebut dijual.
Kami seterusnya telah cuba untuk mendapatkan nombor telefon En. Dahlan dan menghubunginya sendiri bagi menjelaskan situasi berkaitan dengan penjualan rumah tersebut.
Setelah dapat menghubungi En. Dahlan, kami diberitahu bahawa En. Dahlan bersetuju dengan penjualan rumah tersebut dengan syarat hasil jualan rumah itu dibahagi secara sama rata kepada mereka berdua. Mesej ini telah disampaikan kepada Pn. Khatijah dan menurut daripada pengiraan kami, kami dapati bahawa hasil jualan rumah tersebut yang bakal diperolehi oleh mereka adalah sebanyak RM20,000 sahaja.
Apabila mendapat tahu berkaitan dengan jumlah RM20,000 ini Pn. Khatijah tidak bersetuju untuk hasil jualan tersebut dibahagi sama rata iaitu masing-masing diberikan hasil jualan RM10,000 atas alasan:-
En. Dahlan tidak pernah memberikan nafkah kepada Pn. Khatijah sepanjang perkahwinan mereka;
En. Dahlan tidak pernah memberikan nafkah kepada Pn. Khatijah dan anak-anak hasil daripada perkahwinan mereka seramai 4 orang setelah mereka bercerai;
Pn. Khatijah terpaksa menanggung pembayaran ansuran kepada bank terhadap rumah tersebut seorang diri setelah mereka bercerai selama 5 tahun ini; dan
Pn. Khatijah terpaksa menanggung perbelanjaan dirinya dan anak-anak seorang diri selepas perceraiannya dengan En. Dahlan.
Oleh yang sedemikian, Pn. Khatijah beranggapan bahawa dia sangat berhak untuk mendapat hasil jualan rumah tersebut mengambil kira pengorbanan yang telah ditanggung olehnya selama setelah mereka bercerai.
Apabila kami bertanya kepada Pn. Khatijah, mengapakah isu berkaitan dengan nafkah dan harta sepencarian ini tidak diuruskan sekali pada masa perceraian mereka, Pn. Khatijah memberitahu kami bahawa dia dan En. Dahlan bersetuju untuk membuat penyelesaian berkaitan perihal tersebut di luar mahkamah. Dalam erti kata lain, mereka bersetuju untuk tidak mendapatkan perintah mahkamah berkaitan dengan urusan nafkah dan harta sepencarian ini malah, ingin menyelesaikannya sendiri.
Oleh yang sedemkian, kami teruskan perbincangan dengan En. Dahlan berkaitan dengan permintaan yang dinyatakan oleh Pn. Khatijah namun, En. Dahlan berkeras dengan prinsipnya yang mana, dia hanya akan bersetuju dengan penjualan rumah tersebut dan akan menandatangani dokumen penjualan rumah sekiranya dia mendapat hasil RM10,000 daripada penjualan rumah tersebut.
Mengambil kira ketiadaan perintah mahkamah yang berkaitan dan hak En. Dahlan dalam situasi ini sebagai pemilik bersama rumah tersebut, Pn. Khatijah akhirnya terpaksa akur dengan permintaan tersebut bagi membolehkan rumah tersebut dijual walaupun Pn. Khatijah terpaksa menanggung kerugian yang banyak dalam transaksi ini dan Pn. Khatijah memberitahu kami "tak apalah, bekas suami saya tak akan kaya dengan ambil RM10,000 itu dan saya pun tak akan jatuh miskin dengan kehilangan RM10,000 itu".
Kesilapan yang wujud dalam kes Pn. Khatijah ini adalah daripada awal lagi perintah mahkamah bagi nafkah dan harta sepencarian tidak dibuat. Tidak kira sama ada mana-mana pasangan bercerai dengan cara yang baik atau sebaliknya, adalah dinasihatkan supaya perintah yang berkaitan diperoleh dan kes dapat ditutup secara kemas tanpa ada kemungkinan permasalahan yang timbul pada masa akan datang.
Justeru, sekiranya anda sendiri ataupun mana-mana kenalan anda yang mungkin berhadapan dalam situasi yang sama seperti kisah Pn. Khatijah ini, adalah dinasihatkan supaya langkah yang betul diambil supaya kerugian yang berpanjangan dan berkekalan tidaklah ditanggung oleh satu pihak sahaja.
Penafian: Artikel yang dikongsikan mungkin terlalu umum atau terlalu terhad pada masa-masa tertentu. Oleh yang sedemikian, ianya mungkin tidak terpakai kepada semua bentuk kes. Artikel-artikel kami juga bukanlah merupakan satu bentuk nasihat perundangan yang boleh dijadikan rujukan sepenuhnya dalam apa-apa situasi. Sentiasa dapatkan nasihat yang sewajarnya daripada peguam berkaitan isu undang-undang anda.