Menurut Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971, seseorang itu ditafsirkan sebagai telah mencapai umur dewasa apabila dia telah berusia lapan belas (18) tahun. Menurut kepada prinsip perundangan berkaitan dengan milikan hartanah atau aset secara keseluruhannya, seseorang itu masih belum mempunyai kapasiti untuk memiliki hartanah atau aset sekiranya masih belum berusia 18 tahun.
Justeru timbul persoalan, apakah yang akan berlaku kepada harta peninggalan pusaka seseorang itu sekiranya dia meninggal dunia dan waris-waris yang ditinggalkannya masih belum mencapai usia dewasa 18 tahun?
Sekiranya berlaku situasi seperti di atas, proses turunmilik pusaka masih perlu dilakukan seperti biasa sama ada melalui perintah pentadbiran dan pembahagian di Mahkamah Tinggi ataupun melalui perintah daripada pejabat pusaka kecil.
Dalam proses tersebut:-
Nama waris yang dibawah usia 18 tahun tetap perlu disertakan di dalam senarai waris si mati.
Waris tersebut tidak perlu menandatangani apa-apa dokumen.
Waris tersebut tidak perlu hadir ke sidang perbicaraan di mahkamah atau pejabat pusaka kecil.
Setelah perbicaraan diadakan dan perintah pentadbiran dikeluarkan, satu Perintah Perlantikan Penjaga (Pemegang Amanah) untuk waris tersebut juga akan dikeluarkan dimana salah seorang waris dalam kalangan ahli keluarga si mati yang berusia lebih daripada 18 tahun akan dilantik sebagai pemegang amanah kepada waris bawah 18 tahun tersebut.
Dalam situasi ini, sekiranya si mati mempunyai hartanah yang perlu diturunmilik kepada waris-warisnya, nama waris dibawah 18 tahun itu juga akan dimasukkan ke dalam geran tersebut beserta dengan nama orang yang memegang amanah bagi pihaknya. Selain daripada itu, satu Kaveat Pendaftar juga akan dimasukkan ke atas tanah ini bagi menyekat daripada berlakunya apa-apa transaksi melibatkan hartanah tersebut selagi waris itu masih belum berusia 18 tahun.
Contoh geran dimana nama pemegang amanah diletakkan didalam geran, memegang bagi pihak waris yang berusia dibawah 18 tahun
Apabila waris bekenaan telah mencapai usia 18 tahun kelak, waris tersebut bersama-sama pemegang amanahnya perlu mendapatkan perintah pembatalan Perlantikan Penjaga dan Kaveat Pendaftar (sekiranya melalui pejabat pusaka kecil, Borang P perlu didaftarkan untuk proses bicara semula dan pembatalan dibuat) bagi membolehkan nama pemegang amanah dikeluarkan daripada geran dan waris tadi menjadi pemilik penuh didalam geran hartanah tersebut.
Penafian: Artikel yang dikongsikan mungkin terlalu umum atau terlalu terhad pada masa-masa tertentu. Oleh yang sedemikian, ianya mungkin tidak terpakai kepada semua bentuk kes. Artikel-artikel kami juga bukanlah merupakan satu bentuk nasihat perundangan yang boleh dijadikan rujukan sepenuhnya dalam apa-apa situasi. Sentiasa dapatkan nasihat yang sewajarnya daripada peguam berkaitan isu undang-undang anda.